Perkahwinan adalah suatu yang dituntut di dalam Islam kerana
ianya adalah satu perkara yang mulia , banyak hikmahnya dan sudah bermula dari
dalam syurga dulu lagi iaitu perkahwinan antara Adam dan Hawa. Berikut adalah
beberapa panduan dari Al-Qur'an dan Al-Hadith untuk mencari pasangan hidup agar
kita dapat bahagia di dunia dan di akhirat insyaAllah.
“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu
dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki
dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan
kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Dan
orang-orang yang tidak mampu menikah hendaklah menjaga kesuciannya, sehingga
Allah memampukan mereka dengan kurniaNya...”. (Surah An-Nur : ayat 32-33)
“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu
sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan
cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka
beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah ?” (Surah An Nahl
: Ayat 72)
“Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk
semuanya berpasangan, samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri
mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yaa Sin :
Ayat 36)
“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka,
iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya
merdeka, dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”.
(Hadis Riwayat Ahmad 2: 251, Nasa’i, Tirmidzi, Ibnu Majah hadis No. 2518, dan
Hakim 2: 160 dari shahabat Abu Hurairah radliyallahu ‘anhu).
Panduan dari AlQuran
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia
menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri, supaya kalian
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kalian
mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat
tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum : 21)
“Dan Allah membuat isteri Fir’aun sebagai perumpamaan bagi
orang-orang yang beriman, ketika isteri Fir’aun berkata: “Wahai Rabbku,
bangunkanlah untukku di sisi-Mu sebuah rumah dalam syurga. Dan selamatkanlah
aku dari Fir’aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.”
(Perumpamaan yang lain bagi orang-orang beriman adalah) Maryam puteri Imran
yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian
dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimah-kalimah Rabbnya dan
kitab-kitab-Nya, dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat.” (Surah
At-Tahrim: 11-12)
Al-Imam Ath-Thabari rahimahullah berkata dalam kitab
tafsirnya: “Allah yang Maha Tinggi berfirman bahawasanya Dia membuat
perbandingan bagi orang-orang yang membenarkan Allah dan mentauhidkanNya,
dengan isteri Fir’aun yang beriman kepada Allah, mentauhidkanNya, dan
membenarkan Rasulullah Musa ‘alaihissalam. Sementara wanita ini di bawah
penguasaan suami yang kafir, satu dari sekian musuh Allah. Namun kekafiran
suaminya itu tidak memudharatkannya, kerana dia tetap beriman kepada Allah.
Sementara, termasuk ketetapan Allah kepada makhlukNya adalah seseorang tidaklah
dibebani dosa orang lain (tapi masing-masing membawa dosanya sendiri, dan
setiap jiwa mendapatkan apa yang dia usahakan.” (Jami’ul Bayan fi Ta`wilil
Qur`an/ Tafsir Ath-Thabari, 12/162)
Seorang isteri yang shalihah, dia akan bersabar dengan
kekurangan yang ada pada suaminya dan sabar dengan kesulitan hidup bersama
suaminya. Tidaklah dia mudah berkeluh kesah di hadapan suaminya atau mengeluhkan
suaminya kepada orang lain, apalagi mengumpat suami, menceritakan aib / cacat
dan kekurangan si suami. Bagaimana pun kurangnya suami dan kesempitan hidup
bersamanya, dia tetap bersyukur di sela-sela kekurangan dan kesempitan
tersebut, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala memilih lelaki muslim yang beriman
kepada Allah dan hari akhir sebagai pendamping hidupnya. Dan tidak memberinya
suami seperti suami Asiyah bintu Muzahim yang sangat kafir kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala dan berbuat aniaya terhadap isteri kerana dia beriman
kepada Allah dan Rasul-Nya.
“Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu
dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan bebatuan. Di dalamnya
ada malaikat yang kasar lagi bengis yang tidak mengingkari terhadap apa yang
diperintahkan kepadanya dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (Surah
At-Tahrim : 6)
“Wanita yang shalihah ialah yang ta’at kepada Allah lagi
memelihara diri bila suami tidak ada, sebagaimana Allah telah memelihara
(mereka)”. (Surah An-Nisaa : ayat 34)
“Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum
mereka beriman. Sesungguhnya wanita hamba yang mukmin lebih baik dari wanita
musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang
musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya
hamba yang mukmin lebih baik dari orang musyrik, walaupun dia menarik hatimu.
Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan
izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada
manusia supaya mereka mengambil pelajaran.” (Surah Al Baqarah : Ayat 221)
“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu
yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang
perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari
saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu
yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan;
ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari
isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu
itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya; (dan
diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan
(dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi
pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah
An Nisaa’ : Ayat 23)
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri
kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam
bagi orang-orang yang bertakwa”. (Surah Al Furqaan : Ayat 74)
Ayat dalam Surah Al-Furqaan di atas ini boleh juga dijadikan
sebagai doa, dan sebaiknya dibaca dalam doa selepas solat atau waktu-waktu
lainnya.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu
adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah
Al Israa’ : Ayat 32)
Panduan dari AlHadith
Rasulullah S.a.w bersabda yang mafhumnya, “Barangsiapa
menikah, maka dia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah dia
bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi”. (Hadith Riwayat
Thabrani dan Hakim).
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Nikahilah
perempuan yang penyayang dan dapat mempunyai ramai anak (subur), kerana aku
bangga dengan sebab ramainya kalian di hadapan para nabi nanti pada hari
Kiamat.” (Hadith Riwayat Ahmad No: 13594 , dan disahihkan oleh Ibnu
Hibban)
“Wanita dikahwini kerana empat hal: Kerana hartanya, kerana
keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu
pilih kerana agamanya, sebab kalau tidak demikian, nescaya kamu akan celaka”. (Hadith
Shahih Riwayat Bukhari 6:123, Muslim 4:175).
“Daripada Abu Hurairah r.a berkata, sabda Rasullullah s.a.w
kepada seorang lelaki yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan: “Adakah
kamu telah melihatnya?" jawabnya tidak (kata lelaki itu kepada
Rasullullah). "Pergilah melihatnya supaya perkahwinan kamu terjamin
berkekalan.”(Hadis Riwayat Tirmizi dan Nasai)
Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis, ‘Jika kamu
meminang wanita, maka jika boleh melihat pada wanita tersebut untuk dinikahi,
maka laksanakanlah.” (Hadis Riwayat Jabir)
Abdullah Ibnu Mas’ud Radliyallaahu ‘anhu berkata: Rasulullah
Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda pada kami: “Wahai generasi muda,
barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya dia kahwin, kerana
ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu
hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.” (Muttafaq
Alaih)
Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah
seseorang di antara kamu melamar seseorang yang sedang dilamar saudaranya,
hingga pelamar pertama meninggalkan atau mengizinkannya.” (Muttafaq Alaihi
dan lafadznya menurut Bukhari)
Hadith di atas menunjukkan tentang haramnya mengganggu apa
lagi cuba merampas tunang orang lain. Menurut Dr Yusof AlQardhawi,
adalah diharamkan juga seorang muslim meminang pinangan saudaranya kalau
ternyata sudah mencapai tingkat persetujuan dengan pihak yang lain. Sebab
laki-laki yang meminang pertama itu telah memperolehi suatu hak dan hak ini
harus dipelihara dan dilindungi, demi memelihara persahabatan dan pergaulan
sesama manusia serta menjauhkan seorang muslim dari sikap-sikap yang dapat
merosakkan identiti. Sebab meminang pinangan saudaranya itu serupa dengan
perampasan dan permusuhan.
Tetapi jika laki-laki yang meminang pertama itu sudah
memalingkan pandangannya kepada si perempuan tersebut atau memberikan izin
kepada laki-laki yang kedua, maka waktu itu laki-laki kedua tersebut tidak
berdosa untuk meminangnya. Kerana sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang
mengatakan sebagai berikut:
"Seorang laki-laki tidak boleh meminang pinangan
laki-laki lain, sehingga peminang pertama itu meninggalkan (membatalkan) atau
mengizinkannya." (Hadith Riwayat Bukhari)
“Barangsiapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah,
mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka
sempurnalah imannya.” (Hadith Riwayat Abu Dawud)
Dari Zakwan dia berkata: Aku mendengar Aisyah berkata: Aku
bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang seorang gadis perawan yang dinikahkan
oleh keluarganya, apakah dia harus dimintai persetujuan atau kah tidak? Beliau menjawab: "Ya,
harus dimintai persetujuan!" Lalu Aisyah berkata: Aku katakan kepada
beliau, perempuan itu merasa malu. Rasulullah s.a.w. bersabda:"Itulah
tanda setujunya bila dia diam." (Shahih Muslim No.2544)
“Sesungguhnya dunia seluruhnya adalah perhiasan dan
sebaik-baik perhiasan adalah wanita (isteri) yang sholehah.” (Hadith
Riwayat Muslim)
Kesimpulan
Banyak lagi panduan lain dari AlQuran dan AlHadith tentang
perihal mencari pasangan hidup. Di sini hanya disertakan beberapa sahaja yang
sempat saya cari. Jika anda ada tambahan-tambahan lagi, sila berkongsi di
ruangan komen deh.
Tiada tempat lagi untuk kita bergantung dan berharap agar
diberi kebaikan selain dari bergantung dan berharap kepada Allah S.w.t.
Semoga Dia memberi segala kebaikan dan yang terbaik buat kita semua
termasuklah pasangan yang dapat membahagiakan hidup kita di dunia dan di
akhirat, amiin.
Ibnu Mas’ud r.a pernah berkata yang maksudnya, “Jika umurku
tinggal sepuluh hari lagi, sungguh aku lebih suka menikah daripada aku harus
menemui Allah sebagai seorang bujang.” [Ihya' Ulumuddin dan Tuhfatul
'Arus hal 20]
“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah S.W.T
akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan
memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad,
Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
“…(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi
tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati
menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d : ayat 28)


Tidak ada komentar:
Posting Komentar